comscore
Tumpuan :
Jenayah

Ugut bunuh ibu bapa Naim Daniel, seorang lelaki ditahan

Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel

NILAI: Seorang lelaki ditahan di Perak semalam, selepas memuat naik komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapa kepada pelakon, Naim Daniel di media sosial.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, turut dirampas, sebuah telefon bimbit bersama suspek yang berusia 24 tahun itu bagi membantu siasatan.

“Rabu lalu, Balai Polis Lenggeng menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang selebriti mengenai kejadian berkenaan.

“Berdasarkan laporan, pengadu dipercayai menerima satu ugutan jenayah dari individu yang tidak dikenali di laman sosial kira-kira 9.50 malam 15 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu beliau berkata, polis menangkap seorang lelaki berusia 24 tahun di Kamunting, Perak, jam 6 petang semalam untuk siasatan kes ini.

“Turut dirampas adalah sebuah telefon bimbit. Suspek direman selama empat hari mulai hari ini hingga 21 Mei depan untuk siasatan kes ini,” katanya.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

“Kertas siasatan juga akan dirujuk ke kamar Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, polis dilaporkan sedang mengesan suspek yang menghantar komen berbaur ugutan bunuh di media sosial, terhadap ibu bapa kepada penyanyi dan pelakon, Naim Daniel.

Difahamkan, Naim membuat laporan polis terhadap pengguna akaun media sosial yang menulis komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapanya di Balai Polis Semenyih.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini