comscore
Tumpuan :
Jenayah

Ulang alik curi diesel 10 kali sehari, 2 pemandu lori diberkas

Antara peralatan digunakan sindiket untuk menyeludup diesel bersubsidi. – FOTO: Ihsan KPDNHEP

RAWANG: Taktik sindiket penyeludupan diesel bersubsidi dari sebuah stesen minyak di Rawang ke sebuah stor haram di kawasan berhampiran dibongkar dalam satu serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.

Ketika serbuan jam 9 malam, 1 November lalu, aktiviti pengisian minyak diesel sedang dilakukan oleh pemandu lori.

Pengarahnya, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata operasi hendap itu susulan aduan berhubung aktiviti pergerakan lori yang membuat pengisian minyak diesel secara berulang di stesen minyak.

“Modus operandi aktiviti ini adalah membuat pengisian di stesen minyak secara berulang antara enam enam hingga 10 kali sehari untuk dihantar ke stor berhampiran yang disyaki stor haram.

“Berdasarkan situasi ini, dipercayai terdapat aktiviti urus niaga jual beli di antara stesen minyak yang berdekatan dengan stor itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zuhairi, satu Arahan Pengisytiharan Stok dan Mengemukakan Maklumat/Dokumen mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 (AKB 1961) dikeluarkan kepada stesen minyak berkenaan.

“Pasukan serbuan turut menahan dua lelaki dipercayai terbabit sebagai pemandu lori sebelum dirakam percakapan dan dilepaskan dengan jaminan polis.

“Dua lori terbabit disita dan minyak diesel di dalam tangki lori yang disita adalah sejumlah 830.3 liter dengan anggaran keseluruhan nilai sebanyak RM300,000,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 ke atas pemilik stesen minyak kerana melanggar Peraturan 12A kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.

Loading...
Terkini