comscore
Tumpuan :
Jenayah

‘Ulat’ teksi di KLIA jerat penumpang, tambang ‘cekik darah’

SEPANG: Meskipun serbuan demi serbuan dijalankan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, namun kegiatan ‘ulat’ teksi masih aktif di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2.

Malah mereka turut dikesan mengenakan caj tambang ‘cekik darah’ terutamanya kepada pelancong asing sehingga mencecah RM300 bagi setiap perjalanan.

Penyamaran 999 bersama pihak berkuasa menerusi operasi khas baru-baru ini membongkar kegiatan ‘ulat’ yang menawarkan caj tambang dua kali ganda, berbanding semakan di aplikasi perkhidmatan e-hailing berdaftar.

Hasil daripada penyamaran itu mendapati individu digelar ‘pak cik’ itu pernah diberi amaran oleh JPJ.

Penahanan individu itu turut mendedahkan helah sindiket ‘ulat’ teksi yang dipercayai memasang ‘mata-mata’ bagi mengawasi pergerakan pihak berkuasa, menerusi komunikasi di ‘group chat’ aplikasi sembang digital.

Menerusi operasi yang dijalankan selama 21 hari itu, beberapa individu ditahan dan ada dalam kalangan mereka disyaki menawarkan perkhidmatan ‘naik dulu, bayar kemudian’ sebagai modus operandi bagi memperdaya pelancong asing.

Tindakan ‘ulat’ teksi terbabit jelas mencabar undang-undang penguatkuasaan JPJ, sekaligus menjadi penyumbang kepada kegiatan ‘ulat’ teksi yang masih berleluasa.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Aedy Fadli Ramli pihaknya sudah melaksanakan advokasi dengan kerjasama Malaysia Airport Berhad bagi memerangi kegiatan ‘ulat’ teksi.

“Pihak JPJ memandang serius kegiatan ‘ulat’ teksi dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang masih degil melanggar undang-undang ditetapkan,” katanya dalam program 999.

Untuk rekod, JPJ Selangor memberkas sebanyak 91 ‘ulat’ teksi di KLIA pada Januari sehingga Mei lalu.

Saksikan laporan khas ‘Ulat’ KLIA Desak Pelanggan dan pelbagai rangkuman kes sepanjang minggu dalam program 999 malam ini di TV3.

Program 999 bersiaran setiap Selasa, jam 9 malam dan strim sekarang melalui Tonton!

 

View this post on Instagram

 

A post shared by 999 TV3 (@999tv3)

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini