Oleh Fazli Ahmad
KUALA LUMPUR: Ketika rakan sebaya berusia 16 tahun, berada di bangku sekolah, nasib malang menimpa seorang gadis, apabila diculik dan dilarikan ke Segi Tiga Emas ntuk dijual sebagai hamba sindiket pemerdagangan manusia.
Titik hitam hidup mangsa itu dikongsikan menerusi bahagian pertama laporan eksklusif Fazli Ahmad di Buletin TV3.
“Michelle” bukan nama sebenar berasal dari ibu negara, tampil kepada Fazli untuk menceritakan kisahnya.
Mimpi ngerinya bermula selepas dia diculik ahli sindiket ketika keluar rumah bersendirian untuk membeli kuih.
Dalam kejadian pada Februari tahun lalu, dia dilarikan ke Kelantan dan diseludup ke Thailand melalui jalan tikus, dan akhirnya tiba di kawasan Segi Tiga Emas di Laos.
Hanya dalam tempoh empat bulan, Michelle empat kali dijual kepada sindiket berbeza dipercayai didalangi warganegara China.
“Empat bulan tu saya kena jual tak sama company, first company dia scammer tipu orang kerja, saya satu minggu saja, lepas tu saya kena jual company lain, company tu love scammer,” kata Michelle.
Katanya, dia direkrut untuk melakukan penipuan love scam oleh seorang wanita dipercayai warga Amerika Syarikat.
Taktik digunakan iaitu menyamar menggunakan identiti sebenar individu lain diperoleh di akaun media sosial untuk menipu mangsa di Amerika Syarikat dan Kanada.
Michelle tidak pernah menerima sesen pun upah, malah berhutang makan dan minum yang disediakan.
Setiap mangsa juga ada hutang kepada sindiket, kerana dipaksa membayar kembali setiap kos dan upah sindiket untuk memperoleh mangsa dari tanah air.
Kerana usianya yang paling muda dalam kumpulan lebih 20 mangsa rakyat Malaysia, nasibnya lebih baik kerana hanya menerima ancaman, namun tidak dipukul dan diseksa seperti dialami mangsa yang lain.
Tertekan dengan kekejaman penjenayah yang sering membawa senjata api dan alat renjatan elektrik, Michelle nekad mencuri telefon bimbit sindiket dan akhirnya berjaya menghubungi adik dan ibunya di tanah air pada Julai tahun lalu.
Maklumat diberikan Michelle kepada keluarganya menjadi petunjuk kepada Unit Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Sindiket amat berang apabila remaja itu berjaya dikesan PDRM, menyebabkan mereka gagal menjual gadis itu kepada sindiket di Myanmar.
Namun penderitaannya belum berakhir apabila dia dijadikan mangsa pemuas nafsu.
Selepas setahun dalam genggaman sindiket, Michelle bersyukur kerana diselamatkan PDRM dan dibawa pulang ke tanah air pada Februari lalu.
Ibarat mati hidup kembali, anak kedua daripada empat beradik itu kini memulakan hidup baharu dan enggan melihat remaja lain mengalami nasib yang sama.
Berdasarkan keterangan, semua mangsa penipuan sindiket berusia antara 16 dan 30 tahun tetapi remaja adalah sasaran utama sindiket terbabit. ahli sindiket pula membabitkan rakyat tempatan dan kumpulan terbabit dipercayai mempunyai jaringan antarabangsa.
Walaupun sebahagian anggota sindiket sudah dicekup polis namun saki baki ahli rangkaian masih bebas.