Oleh: Kadir Edison
KUCHING: Polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 10.4 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM332,800 dalam satu serbuan di sebuah rumah flat di Jalan Matang di sini, Isnin lalu.
Persuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, seorang suspek berusia 57 tahun dipercayai pemilik kepada barang larangan terbabit ditahan dalam serbuan berkenaan.
Katanya, turut dirampas dalam serbuan itu, sebuah motosikal jenis Kawasaki Z900 dianggarkan bernilai RM50,000.
Polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 10.4 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM332,800 dalam satu serbuan di sebuah rumah flat di Jalan Matang, Isnin lalu. pic.twitter.com/UUIpEdVBwn
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 13, 2024
“Semakan yang kita lakukan terhadap suspek iaitu seorang lelaki berusia 57 tahun mendapati suspek ini mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Ujian saringan awal air kencing yang dilakukan terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah jenis methaphetamine dan amphetamine,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, suspek kini direman tujuh hari sehingga 19 November ini bagi membantu siasatan dan kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mengulas kejayaan rampasan dadah di Sarawak, Mancha berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 10 November lalu, polis Sarawak berjaya merampas pelbagai jenis dadah seberat 289.7 kg, 93.39 liter cecair dipercayai dadah dan 143 batang pokok ganja yang dianggarkan bernilai RM39 juta.
Polis juga katanya turut menyita pelbagai harta dipercayai milik sindiket dadah berjumlah RM3.97 juta ringgit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.