PASIR GUDANG: Bukan saja tidak dapat kerja sambilan secara dalam talian seperti yang dijanjikan, malah wang simpanan milik keluarga remaja lelaki berusia 19 tahun juga lebur diperdaya.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa semalam, yang mendakwa kerugian RM201,866 akibat diperdaya sindiket menawarkan kerja sambilan secara dalam talian.
Katanya, mangsa diperdaya untuk membuat pembelian serta pembayaran barang terpilih dan dijanjikan komisyen antara enam hingga 15 peratus dari modal yang dibayar dalam tempoh sejam selepas transaksi bayaran.
“Mangsa tertarik dengan tawaran komisyen yang dijanjikan dan membuat dua kali transaksi pembelian pada 24 Julai lalu sebanyak RM3,000 dan menerima komisyen RM565, serta pulangan balik modal pada hari sama.
“Selepas mendapat pulangan modal dan komisyen, mangsa samakin tertarik dan menggandakan jumlah pembelian.
“Sehingga kelmarin, mangsa telah melakukan 27 transaksi pembayaran secara atas talian ke dalam 19 akaun bank yang berbeza, yang mana sebahagian wang itu adalah milik ahli keluarga mangsa,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Sohaimi, berkata mangsa memaklumkan tidak menerima komisyen sebagaimana transaksi awal, tetapi mangsa terus membuat transaksi pembelian kerana suspek memberikan pelbagai alasan.
Katanya, antara alasan yang diberikan ialah mangsa perlu membuat bayaran untuk melengkapkan tugasan yang diberikan bagi membolehkan mangsa mendapat komisyen yang dijanjikan.
“Mangsa mengesyaki dirinya ditipu dan membuat carian kerja sambilan dalam talian menerusi laman sesawang, dan mendapati dirinya telah ditipu sindiket, mangsa kemudian membuat laporan polis di IPD Seri Alam.
“Siasatan juga akan membabitkan keldai akaun sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terbabit,” katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.