
KUALA LANGAT: Polis menahan tiga lelaki anggota Geng Ramesh yang disyaki terbabit kes samun membabitkan kerugian RM33,000 di daerah ini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata tangkapan ke atas suspek warga tempatan berusia 28 hingga 47 tahun itu susulan laporan mangsa berusia 37 tahun yang mendakwa wang miliknya itu disamun suspek pada Jumaat lalu.
“Berdasarkan laporan mangsa iaitu seorang lelaki warga asing yang juga buruh, wang tunai miliknya disamun dua lelaki memegang kayu ketika berada di hadapan sebuah kilang di Telok Panglima Garang, kira-kira jam 9 malam.
“Siasatan mendapati, wang itu dikumpul daripada rakan sekerja mangsa untuk dihantar ke kampung halaman mereka.
“Selain wang berkenaan, turut hilang adalah satu unit telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Ridhwan berkata, susulan itu, kira-kira jam 11 malam keesokan hari, pasukannya berjaya menangkap seorang lelaki tempatan di sekitar kawasan Telok Panglima Garang.
“Hasil soal siasat suspek yang ditangkap, pada kira-kira jam 3.30 pagi Ahadl lalu, serbuan kedua dibuat dan polis memberkas rakan jenayah suspek iaitu dua lelaki tempatan di sekitar kawasan sama.
“Dalam serbuan itu, polis menemui semula barang dan wang tunai milik mangsa serta sejumlah barangan digunakan ketika melakukan kegiatan samun terbabit.
“Antara barangan dirampas adalah tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kereta Perodua Myvi, sebuah motosikal Yamaha LC 135 dan wang tunai RM19,500.
“Dipercayai sebahagian wang mangsa sudah digunakan suspek,” katanya.
Beliau berkata, semua suspek yang ditangkap adalah lelaki tempatan berumur 28 hingga 47 tahun dan masing-masing mempunyai rekod jenayah lampau.
“Suspek direman lima hari dan ditahan di Lokap Balai Polis Banting Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun bersenjata secara berkumpulan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau sebat,” katanya. – BERITA HARIAN