comscore
Tumpuan :
Jenayah

Wang simpanan dan pencen suami lebur, terpedaya ‘love sam’

Foto hiasan

KUANTAN: Kononnya mahu mengirim hadiah, seorang wanita berusia 71 tahun dari Bentong kerugian RM86,000 wang simpanan dan pencen arwah suaminya selepas terpedaya dengan penipuan `love scam’.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata wanita berkenaan pada mulanya berkenalan dengan suspek di alam maya.

Pada 13 Februari lalu, katanya, suspek mendakwa kononnya mengirimkan hadiah kepada mangsa dan memintanya berurusan dengan penghantar barangan untuk mendapatkan hadiah berkenaan.

“Mangsa mula sedar ditipu selepas melakukan transaksi ke lima akaun berlainan, kerugian RM86,000 yang juga wang simpanan dan wang pencen arwah suami,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam kes berasingan, seorang peniaga sayur rugi RM125,000 selepas terpedaya dengan individu menyamar rakan karib.

Ramli berkata, lelaki berusia 38 tahun dari Bentong itu pada mulanya menerima mesej melalui aplikasi sembang WhatsApp pada 13 Februari daripada nombor telefon menggunakan nama dan gambar kenalan rapatnya.

“Suspek meminta bantuan, pinjam wang. Akibat percaya dan ingin membantu, mangsa membuat 16 transaksi ke lima akaun berlainan. Berikutan itu, mangsa kerugian berjumlah RM125,000 yang juga wang simpanannya,” katanya.

Katanya, dua kes berkenaan disiasat mengikut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan janji manis dan sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan penyamaran dan ‘love scam’.

Orang ramai boleh membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

Loading...
Terkini