comscore
Tumpuan :
Jenayah

Wanita dakwa ditipu ’Tuan Omar’ dan ‘Inspektor Khoo Lee Feng’ 

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Wanita kerugian sehingga RM206,900 selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan individu menyamar pegawai polis dan pegawai dari Kementerian Komunikasi, tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita tempatan berusia 64 tahun itu pada 1.31 tengah hari semalam, yang mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali pada Julai 2023.

“Pengadu memberitahu, individu berkenaan memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Kementerian Komunikasi yang mengatakan pengadu terbabit dengan kes siber, namun pengadu menafikan perkara itu.

“Kemudian, pengadu mendakwa menerima lagi panggilan telefon daripada dua individu yang mengaku sebagai pegawai polis.

“’Tuan Omar’ dan ‘Inspektor Khoo Lee Feng’ memaklumkan bahawa pengadu terbabit dengan siasatan jenayah pengubahan wang haram sebelum meminta pengadu memberikan maklumat berkenaan akaun bank yang dimilikinya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Balveer Singh, pengadu kemudian memberikan maklumat berkaitan akaun bank miliknya serta beberapa nombor kod OTP kepada ‘Tuan Omar’ bagi tujuan siasatan dan diarahkan untuk merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan sesiapa sehingga arahan lanjut diberikan.

Katanya, pada 6 September lalu, pengadu membuat semakan akaun miliknya di bank dan mendapati 12 transaksi pemindahan wang berjumlah RM206,900 bermula 14 September 2023 hingga 14 November 2023.

“Transaksi itu dibuat daripada akaun pengadu ke enam akaun bank berbeza dan pengadu syak dia tertipu sebelum terus membuat laporan polis,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini