comscore
Tumpuan :
Jenayah

Wanita direman 4 hari, muat naik video hasutan Sultan Perak

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita direman empat hari mulai hari ini selepas ditahan semalam kerana disyaki memuat naik video bersama kenyataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak di media sosial.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata pihaknya membuat permohonan reman ke atas suspek mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Tempoh tahanan reman yang dibenarkan adalah selama empat hari iaitu bermula pada 6 Mei 2023 hingga 9 Mei 2023.

“Kes dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Noorsiah dalam satu kenyataan, malam tadi memaklumkan suspek yang berusia 34 tahun itu ditahan di kawasan parkir kereta di Klang, Selangor, semalam.

Suspek disyaki memuat naik video yang mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak di akaun Tiktok @ijaheartfarizahwhitenew, Isnin lalu.

Katanya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo Y15A serta dua keping kad sim daripada suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian terhadap mana-mana raja atau kerajaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Loading...
Terkini