Tumpuan :
Jenayah

Wanita disyaki curi kabel ditahan selepas kereta terbabas

Foto hiasan

PENAMPANG: Seorang wanita ditahan manakala tiga rakannya sempat melarikan diri selepas kereta dinaiki mereka terbabas ketika cuba mengelak daripada pemeriksaan polis di Jalan Kolopis, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu berlaku ketika anggota Balai Polis Penampang melakukan rondaan di kawasan berkenaan dan melihat sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, anggota polis mengarahkan kenderaan berkenaan berhenti bagi tujuan pemeriksaan, namun suspek bertindak memecut laju dan melarikan diri.

“Kenderaan dipandu suspek berjaya dikejar sejauh kira-kira 500 meter sebelum ia terbabas ke arah sungai.

“Berikutan itu, seorang wanita warga tempatan berusia 25 tahun ditahan dan manakala tiga lagi rakan lelaki suspek melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, pemeriksaan lanjut menemui pelbagai jenis barang antaranya kabel telekom dan pemotong besi.

“Polis masih mengesan tiga lagi suspek yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.

“Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sementara itu, Sammy berkata sekirannya orang awam ada sebarang maklumat berkaitan dengan kes di atas atau lain-lain kes berkaitan jenayah, dadah dan sebagainya, mereka boleh menjalurkan maklumat di Balai Polis Penampang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini