KUALA LUMPUR: Seorang wanita ditahan kerana menceroboh kediaman dalam proses untuk disewakan di Taman Ukay Perdana, Ampang dekat sini kelmarin, dipercayai untuk dijadikan tempat melepaskan gian dadah.
Kegiatan wanita berusia 34 tahun itu disedari selepas seorang pegawai hartanah bersama rakan sekerja dari syarikat perumahan membuat lawatan dan semakan unit kediaman kosong untuk disewa kira-kira jam 11 pagi.
Sebaik masuk ke rumah itu, mereka mendapati seorang lelaki bersama seorang wanita berada dalam rumah berkenaan sebelum cuba melarikan diri.
Suspek lelaki sempat meloloskan diri namun suspek wanita ditangkap dan diserah kepada polis dari Balai Polis Taman Melawati untuk siasatan.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail, berkata ujian air kencing mendapati wanita itu positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek mempunyai tiga rekod lampau iaitu satu kes jenayah dan dua kesalahan penagihan dadah.
Usaha mengesan suspek lelaki yang masih bebas masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, wanita itu direman tiga hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan rumah dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu memasukkan dadah ke dalam badan.