comscore
Tumpuan :
Jenayah

Wanita etnik Rohingnya dalang jenayah pecah rumah diburu

Sekumpulan etnik rohingya yang aktif memecah masuk rumah berjaya ditahan, kelmarin. FOTO IHSAN POLIS

JOHOR BAHRU: Enam kes pecah rumah di tiga daerah diselesaikan susulan tangkapan empat etnik Rohingya termasuk remaja 14 tahun dalam beberapa serbuan di sekitar Kulai di sini, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, serbuan yang bermula pada jam 12 tengah hari itu menahan dua lelaki dan dua wanita etnik itu berumur 14 hingga 27 tahun.

Katanya, tangkapan berjaya menyelesaikan enam kes pecah rumah yang dilaporkan di daerah Johor Bahru, Batu Pahat dan Kulai dengan kerugian bernilai lebih RM50,000.

“Pasukan serbuan juga merampas sebuah kereta Proton Persona, 10 .resit pajak gadai dan 16 set barang kemas pelbagai jenis.

“Kumpulan pecah rumah ini aktif melakukan jenayah pecah rumah di daerah ini pada pertengahan tahun ini. Mereka mensasarkan rumah yang tiada penghuni kerana keluar bekerja pada waktu siang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Kamarul Zaman, kumpulan berkenaan dianggotai tiga hingga empat lelaki dan wanita yang menaiki kenderaan tempatan bagi tujuan pecah rumah.

Katanya, dua suspek lelaki yang ditahan mempunyai rekod lampau pecah rumah dan penagih dadah.

“Polis sedang mengesan dalang utama yang masih bebas iaitu wanita Rohingya bernama Norjahan Ismail. Suspek memegang kad UNCHR bernombor 354-15C04537 dan beralamat di no 206, Jalan Batu 21, Taman Muhibbah, Kulai.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek ini diminta menghubungi Inspektor Mohamad Faizul 0193851002 atau Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Zamri Abdul Karim 0167269275 atau balai berhampiran,” katanya kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini