comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Wanita hamil dibunuh kekasih: Punca kematian akibat luka tikaman di dada

SUNGAI BESAR: Hasil bedah siasat menunjukkan wanita hamil empat bulan yang mayatnya ditemui dalam keadaan terbakar di kawasan belukar kebun kelapa sawit Jalan Sungai Limau Isnin lalu mendapati punca kematian disebabkan luka tikaman di dada.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, ia hasil keputusan selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Sungai Buloh hari ini.

“Sebab kematian mangsa adalah kerana luka tikaman di dada pada badan yang melecur,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Agus Salim memaklumkan jenazah wanita berusia 21 tahun itu sudah dituntut ahli keluarga.

Jenazah wanita hamil yang dibunuh dan dibakar selamat dikebumikan jam 8.25 malam tadi. -FOTO: NSTP

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Nelayan, jam 8.25 malam tadi.

Majlis pengebumian itu dihadiri ribuan orang terdiri daripada ahli keluarga, sahabat, jiran dan penduduk kampung.

Menurutnya, reman terhadap suspek lelaki berusia 20 tahun pula akan berakhir 29 Mei ini.

Terdahulu, media melaporkan motif pembunuhan wanita terbabit kerana mahu merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan sulit.

Suspek dan mangsa dikatakan pasangan kekasih dan sudah menjalin hubungan selama setahun.

Suspek dipercayai menjalankan jenayah itu berseorangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini