comscore
Tumpuan :
Jenayah

Wanita larikan barangan teman lelaki enggan kahwin

Foto hiasan

AMPANG JAYA: Berang kekasih enggan berkahwin, seorang wanita bertindak melarikan pelbagai barangan rumah milik teman lelakinya yang dianggarkan bernilai RM30,000.

Difahamkan, wanita berusia 37 tahun itu menumpang di unit pangsapuri teman lelakinya di Pandan Perdana di sini, sebelum dia melarikan diri bersama barangan berkenaan kira-kira dua bulan lalu.

Bagaimanapun, perbuatannya itu membawa padah apabila wanita itu ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis menerima laporan kejadian daripada lelaki berusia 54 tahun pada 16 September lalu.

“Berdasarkan laporan, pengadu mengesyaki teman wanitanya membawa keluar beberapa barangan elektrik dan basikal dari rumah tanpa kebenaran pengadu membabitkan kerugian RM30,000.

“Pengadu ada menghubungi suspek dan dia mengaku mengambil kesemua barang berkenaan serta enggan memulangkannya semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bertindak atas laporan, Mohd Azam berkata, sepasukan polis yang menjalankan siasatan menahan wanita terbabit di sebuah rumah di Kuala Lumpur kira-kira jam 1 pagi semalam.

Polis turut merampas beberapa barangan elektrik dan basikal yang disyaki dilarikan wanita terbabit.

Katanya, semakan mendapati suspek yang juga penganggur itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Bagaimanapun suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini