Tumpuan :
Jenayah

Wanita rugi lebih RM80,000 diperdaya ‘Oppa’

Foto hiasan

SIBU: Seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30-an kerugian RM86,841 selepas menjadi mangsa penipuan cinta lelaki warga Korea yang dikenali menerusi media sosial pada Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, dalam laporan polis pada Khamis, pekerja swasta berkenaan memaklumkan pada 19 Jun lalu suspek berjanji akan bertemu dengannya selepas permohonan visa diluluskan.

“Pada awal Julai lalu, suspek memberitahu mangsa bahawa dia membuat beberapa penghantaran barang kepada mangsa namun barang berkenaan ditahan pihak kastam Indonesia sebelum transit ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zulkipli berkata, selepas berhubung dengan seorang individu yang menyamar sebagai pegawai kastam pada 25 Julai, mangsa diminta untuk membuat beberapa pembayaran bagi mendapatkan sijil pelepasan supaya barangan berkenaan dihantar ke Malaysia.

Mangsa membuat 25 transaksi pindahan wang ke lapan akaun tempatan berjumlah RM86,841 sebelum berasa ragu-ragu dan menyedari dirinya ditipu apabila masih diminta membuat pelbagai pembayaran.

Suspek juga tidak dapat dihubungi mangsa selepas itu.

“Polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini