comscore
Tumpuan :
Jenayah

Wanita Rugi RM153,928 Ditipu Sindiket Pinjam Wang

Foto hiasan

SIBU: Hasrat seorang peniaga wanita mengembangkan perniagaannya musnah selepas ditipu sindiket pemberi pinjaman wang tidak wujud di laman Facebook membabitkan kerugian RM153,928.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata kejadian bermula pada 26 September lalu apabila mangsa berusia 42 tahun tertarik dengan satu iklan di laman Facebook yang menawarkan pinjaman wang tanpa memerlukan penjamin.

“Mangsa mengambil keputusan membuat pinjaman RM300,000 bagi mengembangkan perniagaannya.

“Mangsa kemudiannya berurusan dengan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp untuk urusan permohonan pinjaman wang itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menjelas lanjut, katanya, mangsa diminta membuat beberapa pembayaran termasuk insurans, cukai jualan dan perkhidmatan serta cukai perniagaan.

“Mangsa kemudian membuat 28 transaksi pembayaran ke sembilan akaun yang diberikan membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM153,928.

“Apabila kerap diminta membuat pembayaran dengan pelbagai alasan, mangsa berhasrat mahu membatalkan permohonan pinjaman berkenaan, namun dikehendaki membuat pembayaran sebanyak RM9,000 lagi,” katanya.

Zulkipli berkata, mangsa tidak membuat pembayaran terbabit kerana mula menyedari dirinya dijerat sindiket penipuan.

terbabit.

“Pihak polis menerima laporan daripada mangsa berhubung kes ini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan jangan mudah percaya dengan iklan promosi pinjaman wang dengan kadar faedah rendah dan proses permohonan yang pantas tanpa syarat ketat yang banyak diiklankan di media sosial,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini