
JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas mengalami kecederaan selepas disamun tiga lelaki dalam kejadian di hadapan rumahnya di Taman Skudai Baru, Skudai di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa berusia 60 tahun pada jam 8.06 malam.
Katanya, mangsa dipercayai diserang menggunakan alat perenjat elektrik (taser).
“Siasatan mendapati ketika kejadian, mangsa berada di luar pagar rumahnya sebelum didatangi tiga suspek yang menunggang dua motosikal.
“Salah seorang suspek bertindak menarik beg tangan mangsa sambil mengacukan senjata dipercayai taser bagi memaksanya menyerahkan beg berkenaan.
“Berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek sehingga wanita itu terjatuh sebelum kumpulan penjenayah melarikan diri dengan barangan bernilai kira-kira RM1,500.
“Mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala akibat kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Balveer Singh, pihaknya kini giat memburu ketiga-tiga suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan menggunakan senjata, dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 bagi kesalahan memiliki senjata di tempat awam tanpa kebenaran.
“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada, mengelakkan pendedahan barangan berharga dan menggunakan laluan selamat bagi mencegah kejadian samun.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini, diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara di talian 07-5563122,” katanya.
Terdahulu tular di media sosial berdurasi satu minit lapan saat, memaparkan wanita warga emas yang sedang melintas jalan menjadi mangsa samun tiga lelaki.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.