comscore
Tumpuan :
Jenayah

Wanita warga emas ditahan dalang sindiket pelaburan tipu

Foto hiasan

Oleh Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas ditahan polis selepas terlibat penipuan skim pelaburan yang dikenali sebagai ‘Investment HSBC Bank’ yang menjanjikan pulangan sehingga 30% hingga 70% dari modal pelaburan.

Modus operandi itu terbongkar selepas polis menahan wanita berusia 60 tahun yang dipercayai suspek utama kes berkenaan.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung skim pelaburan terbabit.

“Susulan itu, PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 60 tahun yang juga suspek utama dalam kes ini pada 25 Mei lalu.

“Berdasarkan siasatan dilakukan, skim pelaburan itu mula beroperasi sejak awal tahun dengan menawarkan pulangan antara 30 hingga 70 peratus daripada modal pelaburan dikeluarkan.

“Skim itu juga menawarkan slot saham yang menjanjikan keuntungan sehingga 100 peratus dalam tempoh 72 jam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorsiah berkata, selepas mangsa membuat pindahan wang, keuntungan yang dijanjikan tidak dibayar.

Semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah membabitkan penipuan pelaburan berkaitan penjualan minyak diesel.

Suspek direman selama lima hari bermula 26 Mei lalu hingga esok.

Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang menjadi mangsa skim pelaburan itu dinasihati supaya segera tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

Loading...
Terkini