comscore
Tumpuan :
Jenayah

Warga asing antara 6 ditahan, terlibat sindiket jual haiwan dilindungi

AMPANG: Enam termasuk warga asing ditahan selepas pihak berkuasa menumpaskan kegiatan sindiket menjual spesies kura-kura dilindungi yang diseludup masuk dari luar negara dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Tasek Permai di sini, 2 Julai lalu.

Serbuan itu dilakukan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) oleh sepasukan Unit Jenayah Hidupan Liar (WCU) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, dalam serbuan jam 7.30 malam itu, pihaknya menahan enam individu termasuk seorang wanita terdiri daripada empat warga Kemboja dan dua tempatan.

“Pemeriksaan di premis terbabit menemui hampir 200 kura-kura disyaki spesies Chinese Stripe Necked Turtle, Black Pond Turtles, Snapping Turtle, Sulcata Tortoise, Leopard Tortoise, Red Footed Tortoise dan Kura-Kura Katup.

“Selain itu, kami turut merampas tiga ular, seekor mengkarung, empat labi-labi serta lima katak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dalam serbuan itu dianggarkan berjumlah RM246,394.

“Hasil soal siasat terhadap suspek, mereka gagal mengemukakan lesen atau permit daripada Jabatan Perhilitan yang membolehkan menyimpan hidupan liar dilindungi itu.

“Beberapa barangan seperti tiga telefon bimbit, Ipad, buku resit, 10 kamera litar tertutup (CCTV), empat set komputer serta dua peti sejuk dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal dilakukan mendapati kura-kura itu diseludup masuk dari luar negara untuk pasaran gelap tempatan.

“Kami tidak menolak kemungkinan aktiviti jualan itu berlaku secara dalam talian dan pembeli tetap.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti rangkaian ahli serta pembeli terlibat,” katanya yang memaklumkan tindakan diambil mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini