comscore
Tumpuan :
Jenayah

Warga asing cuba seludup kokain dalam perut dicekup di KLIA 

Hussein menunjukkan gambaran kes rampasan kapsul yang disyaki dadah jenis kokain serta rampasan kenderaan milik suspek pada sidang media di IPK Selangor, Shah Alam. FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Amerika Latin sanggup menahan sakit lebih 10 jam dengan menelan ketulan plastik berisi dadah jenis kokain.

Itu usaha dilakukan lelaki berusia 20 tahun yang juga ‘keldai dadah’ dalam menyeludup kira-kira 1.2 kilogram kokain melalui penerbangan dari Peru dan Dubai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek bagaimanapun diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA pada Jumaat lalu.

Menurutnya, bertindak atas maklumat Polis Antarabangsa (Interpol) pihaknya menahan suspek dalam keadaan mencurigakan di Balai Ketibaan Antarabangsa kira-kira jam 8.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan dan imbasan X-Ray oleh pegawai perubatan mengesan imej mencurigakan di dalam perut suspek yang kemudiannya ditahan di Hospital Cyberjaya dengan pemantauan polis.

“Hasil pemantauan selama tiga hari, suspek mengeluarkan sejumlah 95 ketulan kapsul berwarna putih kekuningan berisi bahan disyaki dadah jenis kokain anggaran berat 1,152 gram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi; Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, soal siasat terhadap suspek yang bekerja sebagai mekanik mendakwa menaiki penerbangan dari Peru dan transit di Dubai sebelum menaiki penerbangan ke Malaysia.

Beliau berkata, suspek mendakwa diarah oleh kartel dadah untuk membawa bekalan berkenaan masuk ke negara ini dan menginap di sebuah hotel berhampiran KLIA sementara menunggu arahan selanjutnya.

“Siasatan masih dijalankan sama ada bekalan dadah itu untuk pasaran di negara ini atau Malaysia hanya menjadi transit sebelum suspek diarah bergerak ke negara lain oleh kartel dadah.

“Kita (polis) tidak menolak bekalan dadah itu untuk pasaran luar Malaysia memandangkan pasaran kokain di negara ini sangat rendah. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Katanya, kesemua rampasan dadah itu dianggarkan bernilai RM230,400.

Kata beliau, suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan maksimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini