comscore
Tumpuan :
Jenayah

Warga asing ditahan dipercayai bunuh lelaki tempatan

Foto hiasan

BATU PAHAT: Polis menahan lelaki warga asing berusia 43 tahun selepas disyaki membunuh lelaki tempatan di hadapan premis perniagaan di Jalan Penjaja, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa berusia 50-an ditemui dengan kesan kecederaan di kepala akibat pergaduhan dengan suspek.

“Pada 8 malam tadi, polis menerima makluman daripada orang awam menyatakan seorang lelaki terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan dari Hospital Sultanah Nora Ismail yang hadir sejurus kejadian.

“Suspek yang juga pekerja ladang cuba melarikan diri namun ditangkap pengawal keselamatan yang sedang bertugas di bangunan berhampiran dan diserahkan kepada polis,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan berhampiran dan rakaman video yang dibuat oleh saksi awam menunjukkan berlaku pergaduhan antara mangsa yang tidak bekerja dengan suspek sebelum ditemui mati.

“Mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini