comscore
Tumpuan :
Jenayah

Warga emas putih mata RM413,000 lesap dikebas Macau Scam

Foto Hiasan

BATU PAHAT: Seorang warga emas berputih mata apabila kerugian RM413,000 angkara diperdaya sindiket Macau Scam.

Dalam kejadian 29 Oktober lalu, mangsa, 60 yang juga penjawat awam menerima panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, menerusi panggilan telefon itu, suspek memberitahu kononnya mangsa telah terbabit dalam jenayah pengubahan wang haram dan penyalahgunaan dadah.

“Dalam panggilan telefon berkenaan, suspek telah menyatakan bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai. Selepas mangsa menafikan tunggakan berkenaan, panggilan berkenaan kemudiannya disambung kepada pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak. Suspek telah mengarahkan mangsa untuk memindahkan kesemua wang di dalam akaun mangsa ke dalam akaun ‘mule’ yang telah diberikan oleh suspek bagi tujuan siasatan”, kata Ismail dalam satu kenyataan.

Mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek telah membuat pembayaran berjumlah RM 413,000 secara berperingkat.

Siasatan kes mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan dan juga denda.

Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila menerima panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali.

Orang ramai juga perlu membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan jika mempunyai sebarang keraguan.

Loading...
Terkini