comscore
Tumpuan :
Jenayah

Warga emas rugi RM130,000, jadi mangsa ‘phone scam’

Foto hiasan

BATU PAHAT: Seorang peniaga warga emas berputih mata apabila kerugian RM130,000 selepas menjadi mangsa penipuan “phone scam” oleh lelaki menyamar sebagai kakitangan syarikat pembekalan elektrik dan pegawai polis.

Mangsa, lelaki berusia 61 tahun itu menerima panggilan daripada suspek mendakwa kakitangan pembekalan elektrik di Kuantan, Pahang pada Jumaat lalu kononnya dia terbabit dalam kegiatan mencuri elektrik.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa menafikan perkara itu kerana dia tidak mempunyai rumah di lokasi yang dinyatakan.

Beliau berkata, bagaimanapun panggilan itu disambung kepada individu yang menyamar sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontiinjen (IPK) Pahang.

“‘Pegawai’ itu memberitahu mangsa turut terbabit dalam aktiviti penggubahan wang haram berdasarkan maklumat yang ada.

“Selepas itu, suspek meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan bagi tujuan siasatan,” katanya menerusi kenyataan.

Shahrulanuar berkata, pada 26 Mei lalu, mangsa membuat semakan dengan bank dan mendapati berlaku pemindahan wang berjumlah RM130,000 secara berperingkat ke dalam tiga akaun berbeza.

Justeru, katanya mangsa membuat laporan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Orang ramai diminta berhati-hati jika menerima panggilan daripada individu tidak dikenali kerana kemungkinan akan menjadi mangsa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini