JOHOR BAHRU: Pemilik kedai pakaian berputih mata apabila wang simpanan sebanyak RM2.1 juta lesap, selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, lelaki warga emas berusia 70 tahun memaklumkan, pada November lalu, dia dimasukkan dalam kumpulan pelaburan menerusi aplikasi WhatsApp mengenai iklan pelaburan mata wang asing yang menjanjikan pulangan lumayan.
Katanya, mangsa tertarik dengan tawaran itu dan berurusan dengan pentadbir kumpulan berkenaan bagi mendapatkan butiran lanjut pelaburan terbabit.
“Mangsa percaya dengan keuntungan segera yang dijanjikan kepadanya.
“Mangsa diarahkan membuat pembayaran secara berperingkat ke beberapa akaun bank antara November hingga awal Disember 2024, dengan jumlah keseluruhan RM2.118 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Kumar, mangsa juga mengikut arahan suspek untuk memuat turun aplikasi yang diarahkan dan membuat akaun di aplikasi berkenaan bagi memantau pelaburannya.
“Selepas pembayaran dibuat, mangsa mendapati pelaburannya di aplikasi berkenaan mencatatkan keuntungan mencecah RM6.2 juta.
“Mangsa mahu menjual kembali saham itu tetapi tidak berjaya dan wang hasil keuntungan pelaburan berkenaan tidak dapat dikeluarkan.
“Mangsa yang menyedari dirinya ditipu kemudian membuat laporan polis di Batu Pahat,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.