
Oleh: Vinsla Santiran
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Hong Kong yang bekerja sebagai tukang masak dadah ditahan dalam serbuan di Pusat Perindustrian Kuala Lumpur, Jalan Klang Lama, Rabu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, serbuan bersama JSJN Kontinjen Kuala Lumpur itu turut membongkar makmal memproses dadah jenis kokain selain merampas bahan kimia serta dadah dianggarkan bernilai RM8 juta.
Katanya, siasatan mendapati suspek yang turut memegang kewarganegaraan United Kingdom dipercayai masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong pada 3 Januari lalu untuk menjadi tukang masak bagi memproses dadah berkenaan.
“Siasatan juga mendapati sindiket memproses dadah tersebut mula bergiat aktif sejak Disember lalu untuk diedar bagi pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Serbuan pertama dijalankan di Pusat Perindustrian Kuala Lumpur di Jalan Klang Lama dan menahan lelaki tersebut selain merampas cecair dan ketulan dadah disyaki kokain,” katanya dalam sidang media di Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan turut menemukan 3,517.25 liter dan 104.9 kilogram (kg) dadah kokain selain pelbagai peralatan memproses dadah.
“Pihak polis kemudian menyerbu sebuah rumah di sekitar Segambut di sini pada 7.40 malam dan menemukan bahan kimia dipercayai untuk memproses dadah dianggarkan seberat 1.0 liter dan 3.2 kg.
“Jumlah keseluruhan rampasan dan bahan kimia membabitkan 2.2 kg dan 2.6 liter dadah disyaki kokain, 108.15 kg dan 3,518.25 liter bahan kimia untuk memproses dadah dianggarkan bernilai RM8 juta,” katanya.
Tambahnya, premis tersebut dipercayai digunakan untuk memproses dadah sejak Disember lalu, dan rampasan dadah boleh digunakan seramai 192,000 orang penagih.
“Kita sedang menyiasat sekiranya suspek mempunyai kaitan dengan kartel Latin Amerika atau apa-apa sindiket lain terlibat pengedaran dadah jenis kokain,” katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah dan negatif dadah menerusi saringan awal air kencing.
Ujarnya, suspek ditahan reman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula semalam sehingga 22 Januari.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.