comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Warga Singapura sanggup sembunyi di bonet kereta, bayar 3,000 dolar untuk masuk ke Malaysia

Pengarah Kastam Negeri Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi menunjukkan gambar seorang lelaki warga Singapura yang ditahan menyorok di dalam but belakang sebuah kereta ketika pemeriksaan masuk di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini pada 13 Disember tahun lalu pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor.- Foto: NSTP

ISKANDAR PUTERI: Kastam Negeri Johor mengesahkan telah menahan seorang lelaki warga Singapura semasa pemeriksaan masuk di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini pada 13 Disember tahun lalu.

Menurut Pengarah Kastam Negeri Johor, Aminul Izmeer Mohd Sohaimi ketika ditahan, lelaki berusia 50-an itu sedang bersembunyi di dalam but belakang sebuah kereta Produa Myvi yang dinaiki dua wanita tempatan berusia 20-an.

Aminul Izmeer berkata, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya mendapati kereta terbabit dalam keadaan mencurigakan kerana keadaan belakang kereta yang mendap ke bawah.

Tambah Aminul Izmeer, hasil siasatan lanjut mendapati lelaki terbabit dipercayai mengupah dua wanita itu dengan bayaran $3,000 dolar Singapura bagi membawanya masuk ke Malaysia tanpa mempunyai pasport.

“Hasil siasatan mendapati lelaki itu datang ke Malaysia untuk bekerja. Hubungan mereka bertiga ada kenalan,” katanya pada sidang media di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, Gelang Patah di sini, hari ini.

Jelas Aminul Izmeer, soal siasat mendapati lelaki itu menyeludup dirinya buat kali pertama kerana tidak mempunyai passport disebabkan masalah perundangan di negaranya.

“Ketiga suspek telah dituduh di Mahkamah Johor Bahru. Dua wanita bertindak sebagai pengangkut migran dituduh di bawah Seksyen 26J Akta Atipsom 2007. Manakala lelaki warga Singapura terbabit dituduh di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Tambahnya, lelaki terbabit telah selesai menjalani hukuman tiga bulan penjara dan telah diusir keluar pada pertengahan bulan lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini