comscore
Tumpuan :
Jenayah

Yamaha RXZ terpakai masih bahan seludup popular dari Siam

Wan Jamal Abdul Salam memeriksa tiga motosikal Yamaha RXZ terpakai dan kenderaan lain yang diseludup dari negara jiran.-Foto: NSTP

KOTA BHARU: Dipercayai kerana permintaan dan harganya yang tinggi, motosikal Yamaha RXZ terpakai masih menjadi bahan seludup masuk popular ke negara ini.

Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata terbaharu tiga buah motosikal Yamaha RXZ terpakai dirampas pihaknya.

Rampasan dilakukan hasil aduan awam serta risikan yang dijalankan selama dua bulan bermula 15 Februari lalu.

Turut dirampas, lapan kenderaan klon dan dua motosikal berkuasa tinggi.

Wan Jamal Abdul Salam memeriksa tiga motosikal Yamaha RXZ terpakai dan kenderaan lain yang diseludup dari negara jiran.-Foto: NSTP

Menurut Wan Jamal Abdul Salam jumlah keseluruhan rampasan termasuk cukai semasa dianggarkan bernilai RM579,418.

Katanya, modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk kenderaan itu sama ada secara persendirian atau melalui sindiket yang beroperasi di negeri yang bersempadan.

“Bagi tiga Yamaha RXZ terpakai pula ia diseludup melalui pangkalan haram di Sungai Golok menggunakan sampan dan dijual kepada pembeli tempatan dengan harga sekitar RM7,000 hingga RM8,000 seunit,” katanya ketika sidang media di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan di sini, hari ini.

Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long pada sidang media di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan di Kota Bharu, hari ini.-Foto: NSTP

Katanya, antara kenderaan lain yang dirampas ialah Nissan Teana, BMW Z4 2.5I, Nissan Serena, Honda Jaz Fit, Toyota Vefire, Honda Odyssey, motosikal CB400 dan Yamaha TDC 250.

Wan Jamal Abdul Salam berkata lapan kenderaan klon lain yang dirampas dibawa masuk dari Singapura dan dijual pada harga yang rendah sehingga 30 peratus berbanding harga semasa.

Menurutnya lagi, pihaknya percaya terdapat rangkaian sindiket yang menjalankan kegiatan itu di negara asal iaitu Thailand serta Singapura dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1957.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar.

Juga boleh dipenjarakan tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini