comscore
Tumpuan :
Bencana

110 Penumpang Kereta Api Terkandas Selamat

PAPAR: Seramai 110 penumpang yang terkandas dalam kereta api akibat tanah runtuh yang berlaku di landasan Terowong Dambai di sini, semalam berjaya diselamatkan.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, semua mangsa yang terkandas kemudiannya dibawa menggunakan kenderaan polis dan agensi lain untuk dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar bagi pemeriksaan kesihatan.

Menurutnya, kesemua penumpang berada dalam keadaan baik dan mereka kemudiannya dihantar pulang ke kediaman masing-masing pada 10.30 malam.

“Kebanyakan penumpang yang terkandas dalam kejadian itu tinggal di kawasan Papar dan Beaufort.

“Ada penumpang dihantar menggunakan kenderaan Majlis Daerah Papar dan ada juga diambil oleh keluarga mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kamaruddin berkata, kerja pembersihan lokasi runtuhan masih giat dilakukan.

Katanya, gerabak kereta api sudah berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Stesen Keretapi Kawang.

Sementara itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) menerusi laman sosial Facebook memaklumkan, kerja menarik lokomotif kereta api yang tersekat semalam di Terowong Dambai di sini, berjaya dilaksanakan pada hari ini.

“Kerja pembersihan landasan yang tertimbus dengan tanah dan pokok sedang giat dijalankan oleh kakitangan JKNS,” katanya.

Operasi berkenaan dijalankan oleh kakitangan JKNS bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Daerah Papar.

Kejadian pada 6.30 petang semalam, kereta api yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Papar terkandas akibat tanah runtuh itu.

Difahamkan, lokasi kejadian runtuhan berkenaan berlaku kira-kira tujuh kilometer dari Pekan Papar.

Susulan itu, JKNS menerusi laman sosial Facebook berkata, lima perkhidmatan perjalanan yang dijadual esok (hari ini) dibatalkan sepenuhnya.

Antara jadual yang terjejas adalah perjalanan pada 5 pagi, 7 pagi dan 11 pagi yang menghubungkan Beaufort dan Sembulan. – HARIAN METR

Loading...
Terkini