comscore
Tumpuan :
Kemalangan

5 maut, 6 cedera akibat kemalangan di Kluang

Keadaan kereta Honda Stream yang terbabit dalam kemalangan. – FOTO: Ihsan Bomba

KLUANG: Lima maut termasuk dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun selepas Perodua Myvi dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan Honda Stream di Batu 13, Jalan Mersing-Kluang di sini 4.40 petang tadi.

Komander Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shamsul Amri Mohd Shahab daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kluang berkata turut maut seorang wanita dan lelaki dewasa dari kenderaan sama.

Katanya, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Masrina Kahdar, 21; Muhammad Zharfah Noramin, 16; Muhammad Syakir Noramin, 11; Mohammad Ashraf Radiq Abdullah, 11; dan Muhammad Adil Abdul Kadir, 23.

“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan enam yang lain cedera iaitu tiga dari Perodua Myvi dan tiga lagi daripada Honda Stream.

Keadaan kereta Perodua Myvi yang dinaiki lima mangsa yang maut. – FOTO: Ihsan Bomba

“Tiga lagi dari Perodua Myvi dikenal pasti sebagai Siti Nurzannah Kahdar, 26 ; Nur Annalesha Rania Mohammad Arifin, 7; dan seorang lelaki dewasa berusia 20 an yang identitinya tidak diperoleh.

“Mangsa yang cedera menaiki Honda Stream adalah Zulkeflly Zakariah, 53; Kamariah Yusoff, 48; dan seorang kanak-kanak perempuan berusia kira-kira 10 tahun yang maklumatnya tidak diperoleh,” katanya

Beliau berkata, tiada mangsa yang tersepit dan pihaknya melaksanakan operasi mengeluarkan seorang mangsa di dalam kereta Honda Stream menggunakan peralatan khas penyelamatan Road Traffic Accident (RTA).

“Seterusnya mangsa dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom menggunakan jentera EMRS J2-04 untuk rawatan lanjut.

“Mangsa lain yang terbabit sudah dikeluarkan oleh orang awam sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi,” katanya.

Menurutnya, sebuah jentera FRT dan EMRS dengan kekuatan keseluruhan seramai sembilan anggota telah dihantar ke tempat kejadian.

“Setelah memastikan keadaan selamat, jentera dan anggota bertolak balik ke balai dan operasi ditamatkan pada jam lebih kurang 6.27 petang,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini