comscore
Tumpuan :
Kemalangan

6 cedera bas rempuh tiga kereta

Keadaan bas yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Tun Razak Lebuh Ayer Keroh, semalam. FOTO: Ihsan PDRM

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Dua warga emas antara enam individu yang cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan tiga kereta di Jalan Tun Razak Lebuh Ayer Keroh, berhampiran persimpangan lampu isyarat sebuah kilang besi, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.10 petang itu, mangsa yang cedera ialah dua penumpang bas pesiaran, pemandu dan penumpang kereta Perodua Myvi, serta pemandu dan penumpang kereta Nissan Almera.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 3.10 petang berhubung kejadian kemalangan berkenaan.

Beliau berkata, kemalangan berlaku ketika bas jenis Hino dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang dalam perjalanan dari pusat bandar menghala Ayer Keroh.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas yang melepasi persimpangan lampu isyarat kilang berkenaan telah melanggar belakang kereta Perodua Myvi yang berada di hadapan dan menyebabkan berlaku rempuhan dua lagi kereta di hadapan.

“Akibat pelanggaran itu dua penumpang bas, pemandu dan penumpang Perodua Myvi, serta pemandu dan penumpang Nissan Almera mengalami kecederaan.

“Kesemua mereka dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan dan dua daripada mereka ditempatkan di zon kuning,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Christopher, pemandu bas dan pemandu sebuah lagi kenderaan terlibat bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Terkini