comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Anggota tentera maut motosikal berkuasa tinggi rempuh kereta

Foto: Ihsan polis

ROMPIN: Anggota tentera terbunuh selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 133.5 Jalan Kuantan-Johor Bahru, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa dikenali sebagai Shahrizal Shamsuddin, 41, disahkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar berkata, kemalangan membabitkan dua motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha dan BMW serta Honda City Hatchback.

“Seorang lagi penunggang motosikal, Mohd Azman Md Yusof, 48, hanya cedera ringan manakala pemandu kereta, Amirul Aiman Abd Raof, 19, tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta cuba membelok ke kanan sebelum dilanggar di bahagian sisi kanan oleh motosikal jenis Yamaha ditunggang Shahrizal yang datang dari arah belakang.

“Akibat kejadian itu, Shahrizal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Mohd Azman mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Rompin, di sini, untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang awam yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini