comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Dua beradik maut dalam kemalangan jalan raya

Motosikal yang dinaiki dua beradik.

KOTA BHARU: Dua beradik maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan sebuah motosikal di KM 37.5, Jalan Kota Bharu ke Kuala Terengganu, lebih kurang pukul 7.10 malam ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata mangsa Nurul Atikah Mohd Zuhair, 23, dan Nurul Hanani Mohd Zuhair, 29, yang berasal dari Kampung Gong Mengkeleh, Pasir Puteh, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kemalangan berlaku ketika pemandu kereta Perodua Viva dalam perjalanan balik dari Gong Kulim ke Telosan, Pasir Puteh telah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal yang dibawa mangsa Nurul Atikah dan pemboncengnya Nurul Hanani.

“Akibat daripada perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak dan melambung ke bahu jalan arah ke Kuala Terengganu dan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Zaizul Rizal berkata mayat dua beradik itu dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk proses bedah siasat manakala pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. — BERNAMA

Loading...
Terkini