comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Dua remaja maut motosikal bertembung

Foto: Ihsan PDRM

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Dua remaja, seorang daripadanya pelajar terbunuh selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung sesama sendiri di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4.18 pagi itu, kedua-dua remaja terbabit, Khairul Nizam Sham, 18, dan Muhammad Amirul Hadi Norizan, 15, yang juga seorang pelajar, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian, Khairul Nizam yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y-15 sedang dalam perjalanan dari arah
Tanjung Beruas ke Tangga Batu.

Manakala Muhammad Amirul Hadi menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dari arah bertentangan.

Foto: Ihsan PDRM

“Ketika tiba di tempat kejadian Kampung Tanah Merah Jaya, kedua-dua mangsa yang masing-masing datang dari arah bertentangan telah bertembung sesama sendiri sebelum terjatuh.

“Akibat pertembungan itu, kedua-dua remaja terbabit mengalami kecederaan parah dsn disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Christopher, mayat kedua-dua mangsa dibawa Unit Forensik, Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Manakala motosikal mangsa dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.

Polis sedang menyiasat sama ada nahas ada kaitan dengan kegiatan lumba haram atau sebaliknya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BULETIN TV3

Loading...
Terkini