comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Dua wanita maut tersepit dalam kereta

Anggota bomba membantu mangsa kemalangan di Kilometer 58.3 Lebuhraya Senai-Desaru menghala ke Senai, hari ini. -FOTO: JBPM

KOTA TINGGI: Dua wanita maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 58.3 Lebuhraya Senai-Desaru menghala ke Senai, hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Pegawai Bomba Kanan I Faizal Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 3 petang.

Seramai lima anggota balai itu serta dibantu lima anggota BBP Penawar dikejarkan ke tempat kejadian.

“Kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan kereta Hyundai 130.

“Terdapat dua mangsa tersepit dalam Perodua Alza. Pihak bomba mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan ‘rescue tools’

“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa yang tersepit yang juga dua wanita dewasa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, selain dua wanita, mangsa lain dalam Perodua Alza itu adalah seorang lagi wanita dewasa, dua lelaki dewasa yang cedera dan seorang kanak-kanak lelaki selamat.

Pada masa sama, dalam kereta Hyundai 130 itu pula, seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa juga cedera.

Semua mangsa yang cedera dibawa ke hospital dengan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM), manakala yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Identiti mangsa sedang dikenal pasti dan operasi kemudian ditamatkan jam 5.40 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora mengesahkan menerima laporan kemalangan itu, bagaimanapun siasatan masih lagi dijalankan.

Loading...
Terkini