comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Kelindan lori maut tercampak kemalangan dua lori

SELANGAU: Seorang kelindan lori maut selepas tercampak keluar dari lori muatan baja dinaikinya terlibat kemalangan jalan raya dengan sebuah treler dengan muatan serbuk simen sekitar laluan Lebuh Raya Pan Borneo berdekatan Sekolah Kebangsaan Sepiring, Selangau.

Mangsa, Michael Nyangai, 38 tahun disahkan maut ditempat kejadian oleh pasukan Perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) akibat kecederaan parah susulan kejadian terbabit.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.22 pagi lalu mengarahkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau ke lokasi kejadian.

Bagaimanapun tiada operasi menyelamat dilakukan kerana mangsa yang cedera telah keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Pemandu lori yang membawa muatan baja, iaitu seorang lelaki berusia 33 tahun mengalami kecederaan berjaya keluar sendiri manakala kelindan, seorang lelaki, 38 tahun, tercampak keluar dari lori dinaiki mereka.

“Pemandu lori yang membawa muatan serbuk simen, seorang, lelaki berusia 64 tahun yang turut mengalami kecederaan juga berjaya keluar dari lori dipandunya,” katanya menerusi satu kenyataan

Beliau berkata, kemalangan terbabit turut mengakibatkan berlaku kebakaran kecil pada bahagian tayar lori muatan baja namum ia berjaya dipadamkan oleh anggota bomba di lokasi kejadian.

Mangsa yang maut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakkan lanjut manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Mukah untuk mendapatkan rawatan.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.

Loading...
Terkini