comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Kemalangan tiga bas ekspres di Jasin, enam beranak cemas dirempuh

Foto Ihsan PDRM

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Perjalanan pulang enam beranak ke kampung untuk mengundi esok tiba-tiba bertukar cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dirempuh sebuah bas ekspres dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 189.6 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) di Jasin di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, kesemua mangsa bagaimanapun dilaporkan selamat.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, semua mangsa di dalam kenderaan itu ialah Redza Abdullah, 48, dan isterinya, Salmiah Pungut, 47, serta empat anak mereka berusia antara lima hingga 15 tahun.

Kata beliau, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan dari Puchong, Selangor ke Parit Jawa, Muar, Johor.

Setiba di tempat kejadian, katanya, MPV jenis Honda Stream dinaiki mereka sekeluarga tiba-tiba dirempuh sebuah bas ekspres dari arah belakang.

“Perlanggaran itu menyebabkan bahagian belakang MPV itu remuk dan akibat rempuhan tersebut, MPV berkenaan terbabas ke lorong sebelah kiri sebelum merempuh sebuah lagi bas di laluan tersebut.

“Bas yang melanggar MPV itu terus dikatakan merempuh kenderaan lain di hadapannya di lorong kanan termasuk sebuah Toyota Unser dan Toyota Vios,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kemalangan itu kata Mispani, mengakibatkan kesesakan teruk sepanjang 14 kilometer di lebuh raya itu selama hampir 20 minit.

Bagaimanapun jelasnya, keadaan trafik kembali normal apabila semua kenderaan terbabit dialihkan ke lorong kecemasan.

“Setakat ini kes disiasat oleh Unit Siasatan Lebuhraya (USLR) Selatan 1,” katanya.

Loading...
Terkini