comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Kereta ‘hancur’, namun peniaga hanya cedera ringan

FOTO: Ihsan PDRM

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang peniaga pasar malam melalui saat cemas apabila kereta yang dipandunya merempuh sebuah lori 25 tan yang sedang membuat pusingan U di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Kandang di sini petang semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Maizatul Md Said, 49, hanya mengalami cedera ringan walaupun bumbung keretanya tercabut dan terpelanting akibat terperosok di bahagian belakang lori terbabit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah lori jenis Hino yang datang dari arah Muar menghala ke Bandaraya Melaka, membuat pusingan U di kawasan yang dibenarkan.

FOTO: Ihsan PDRM

“Ketika itu wanita terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Jasin ke Bandaraya Melaka.

“Secara tiba-tiba kereta Proton Wira dipandu peniaga wanita terbabit yang datang dari arah bertentangan gagal membrekkan kenderaan lalu melanggar bahagian belakang lori menyebabkan keretanya rosak teruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Christopher, akibat perlanggaran itu, wanita terbabit yang mengalami kecederaan ringan di kaki dan tangan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan sebagai pesakit luar.

FOTO: Ihsan PDRM

Difahamkan katanya, peniaga wanita terbabit dalam perjalanan selepas menghantar anak tunggalnya ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jasin ke Klebang untuk berniaga.

Sementara itu ujarnya, pemandu lori terbabit, P. Ramaswaran, 53, yang berasal dari Johor Bahru tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini