comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Kereta terbalik, seorang maut, satu cedera

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengeluarkan mangsa yang terperangkap di dalam kenderaan yang terbalik, di Sungai Pinang, Georgetown, menyebabkan seorang maut dan satu lagi cedera. – Foto: NSTP/Ihsan JBPM

GEORGETOWN: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan di Sungai Pinang di sini, awal pagi tadi.

Kereta Perodua Alza yang dinaiki mangsa dipercayai terbabas sebelum terbalik menyebabkan kedua-duanya terperangkap di dalam kenderaan itu.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak Fauzian Izzuan Abdullah, berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.44 pagi.

Katanya, setiba di lokasi, kenderaan itu didapati dalam keadaan terbalik dan terdapat dua mangsa terperangkap di bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

“Anggota menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Fauzian Izzuan berkata, mangsa pertama dikeluarkan pada jam 2.10 pagi, diikuti lelaki kedua seminit kemudian.

Katanya, mangsa pertama cedera pada kepala manakala lelaki kedua disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.

“Kedua-dua mangsa yang berusia 30-an itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tindakan lanjut,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini