comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Lelaki warga emas maut digilis lori

Foto hiasan

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga emas maut akibat digilis sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 2.5 Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dari Kepong hala ke Damansara, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 8.02 pagi tadi.

“Siasatan awal dilakukan mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal Honda Wave ditunggang mangsa berusia 64 tahun itu terbabas.

“Penunggang motosikal itu kemudian terjatuh lalu digilis sebuah lori yang melalui lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk proses bedah siasat.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704,” katanya.

Loading...
Terkini