comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Pekerja kedai makan maut motosikal rempuh kereta

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang pekerja kedai makan maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta di Jalan Dato’ Dol Said, Alor Gajah, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi itu, mangsa, Mohd Rostam Ghazalli, 40, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 sedang dalam perjalanan dari arah Kelemak ke Alor Gajah manakala kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang suri rumah berusia 37 tahun itu pula datang dari arah Alor Gajah untuk memasuki simpang ke Sekolah Rendah Kebangsaan Naning di sini.

“Setiba di tempat kejadian, mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh bahagian pintu sebelah penumpang kereta yang datang dari arah bertentangan yang sedang memasuki simpang.

“Akibat rempuhan kuat itu, mangsa terjatuh di atas jalan raya dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Menurut Arshad, mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat.

Suri rumah terbabit, kata beliau, hanya mengalami kecederaan di hidung dan dirawat di Zon Hijau, hospital sama.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Terkini