comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Seorang maut, tiga parah termasuk bayi, kereta rempuh pokok

FOTO: Ihsan Polis

BACHOK: Seorang lelaki maut manakala isteri, anak berusia tujuh bulan serta kenalannya cedera parah dalam kejadian kemalangan di Jalan Beris Lalang, Bachok, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.15 malam tadi, mangsa, Muhammad Fakhrur Razi Abdullah@Awang, 28 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Manakala isteri mangsa, Mirna Situmorang warga Indonesia, 25 tahun dan anak, Fatimah Azzahra, tujuh bulan mengalami cedera parah dengan patah paha serta retak tulang belakang dan retak kepala bahagian belakang.

Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, kedua mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu.

Katanya, turut cedera parah, kenalan keluarga itu iaitu Adam Hakimi Ahmad Saiful Mahlil, 19 yang mengalami pendarahan di dalam kepala, hati dan limpa luka.

“Mangsa kini sedang ditidurkan dan dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Mohamad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa memandu kereta jenis Honda City bersama tiga penumpang dalam perjalanan dari Jelawat hendak pulang ke rumah di Lorong Tok Merbok Kampung Nering, Pasir Puteh.

“Apabila sampai di jalan selekoh tajam Kampung Beris Lalang, pemandu hilang kawalan semasa mengambil selekoh ke kiri dan memasuki laluan bertentangan.

“Mangsa bertindak masuk semula ke laluannya tetapi gagal mengawal kenderaan hingga terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan merempuh sebatang pokok,” katanya.

Mohamad berkata, penelitian awal di lokasi kemalangan mendapati jalan selekoh dan kereta mangsa terbabas kira-kira 50 meter selepas selekoh, cuaca baik dan gelap berlampu.

“Mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini