comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Tragedi bercuti, tiga beranak maut kereta rempuh lori

Keadaan kereta mangsa yang remuk melanggar lori pekerja penyelenggaraan lebuh raya. – Foto: Ihsan PDRM

ALOR GAJAH: Tiga beranak dalam perjalanan bercuti di pantai Telok Kemang, Port Dickson terbunuh selepas kereta dinaiki mereka merempuh lori penyelenggaraan di Kilometer 216, Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi membabitkan Honda Jazz dinaiki pasangan jururawat hospital swasta bersama anak lelaki berusia setahun dengan lori jenis Isuzu dipandu pekerja penyelenggaraan lebuh raya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, ketika kejadian pasangan suami isteri masing-masing berusia 28 tahun dan anak dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur.

Mangsa, Muhammad Nazirul Syafiq Azmi, Zubaidah Abd Rajak dan Muhammad Rizqi Muhammad Nazirul Syafiq disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori dipandu lelaki itu sedang menjalankan kerja pembaikan pembahagi jalan tengah dan berhenti di lorong paling kanan bagi meletakkan kon.

“Ketika proses meletakkan kon, lori itu dilanggar dari belakang oleh kereta terbabit menyebabkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arshad berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala pemandu lori ditahan untuk siasatan.

Kedua-dua kenderaan juga akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut.

Loading...
Terkini