comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Tukang paip maut, motosikal rempuh kenderaan Peronda PLUS henti bantu kereta rosak

FOTO: Ihsan IPD Alor Gajah

ALOR GAJAH: Seorang tukang paip maut selepas motosikal ditungganginya merempuh kenderaan pacuan empat roda milik Peronda PLUS di Kilometer 218.9, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, Muhammad Ammin Kamal Darul Ariff, 27, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 3 pagi selepas lebih dua jam ‘bertarung nyawa’ ketika dirawat di Hospital Alor Gajah akibat kecederaan parah dialami.

Menurutnya, nahas kira-kira jam 1.15 pagi membabitkan motosikal Honda RS150R ditunggangi mangsa dengan Toyota Hilux milik Peronda PLUS dan pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 2.30 pagi.

Hasil siasatan kemalangan dipercayai berlaku semasa dua anggota Peronda PLUS sedang membantu sebuah kereta yang mengalami kerosakan tayar pecah di lorong kecemasan.

“Toyota Hilux itu diletakkan di lorong kecemasan dalam keadaan menyalakan lampu mata arah serta beberapa kon juga diletakkan di belakangnya.

“Ketika dua anggota PLUS Ronda itu sedang memberi bantuan datang sebuah motosikal dari arah belakang melanggar bahagian sebelah kanan kenderaan menyebabkan penunggangnya cedera parah di badan serta kepala dan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Arshad berkata, dua anggota PLUS Ronda itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan memaklumkan terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada kenderaan mereka.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat diserahkan kepada Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat.

“Kenderaan terbabit juga ditahan di Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini