comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Warga Singapura Maut Kereta Terbabas

Foto Ihsan PDRM

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang warga Singapura maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki bersama seorang lagi rakannya terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 208 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di Alor Gajah malam tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, Huang Kaiting, 25, meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pemandu kereta jenis Cerato itu, Muhammad Hilmi Abdul, 28, cedera di kaki.

Katanya, seorang lagi rakan mangsa, Fong Zeng Yip Kenneth, 27, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketika kejadian, ujarnya, ketiga-tiga warga Singapura itu dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

“Ketika tiba di tempat kejadian, kereta dipandu Muhammad Hilmi hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang di sebelah kiri jalan mengakibatkan kenderaan itu mengalami kerosakan teruk,” katanya.

Menurut Arshad, mayat Huang dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat manakala Muhammad Hilmi yang cedera dirawat sebagai pesakit luar.

“Penumpang yang tidak cedera itu dipanggil ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut manakala kenderaan terlibat ditahan untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini