comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Waris lelaki meninggal dunia dalam kemalangan dicari

Mayat seorang lelaki tanpa identiti yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta ditemui di lokasi kejadian di Jalan Bukit Sekechong. – FOTO: Ihsan PDRM

PENDANG: Polis sedang mengesan waris atau ahli keluarga seorang lelaki yang meninggal selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Bukit Sekechong, hari ini tampil untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kemalangan yang berlaku jam 6.10 pagi tadi itu membabitkan sebuah kereta dengan pejalan kaki.

Beliau berkata, kemalangan itu menyebabkan pejalan kaki berusia 40-an itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Namun setakat ini identiti mangsa masih belum diketahui dan polis sedang mengesan waris atau ahli keluarga mangsa untuk tindakan lanjut.

“Pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang memohon jasa baik kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini dan kehilangan ahli keluarga supaya tampil untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan hadir ke pejabat BSPT Pendang atau dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Zamzurina Ahmad di talian 04-7592122.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Loading...
Terkini