comscore
Tumpuan :
Kes

11 hari hilang, pencarian kapal kargo MV Dai Cat 06 belum ada hasil positif

FOTO: Ihsan Maritim Malaysia

JOHOR BAHRU: Nasib kapal kargo MV Dai Cat 06 bersama lima kru yang hilang sejak 11 hari lalu masih menjadi tanda tanya berikutan belum ada sebarang perkembangan positif menerusi usaha pencarian kapal itu di barat laut Pemangkat, Indonesia.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata berdasarkan maklumat diterima Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru daripada Maritime Rescue Control Centre (MRCC) di Putrajaya, kapal berkenaan masih belum dikesan.

Mengulas perkembangan terkini, katanya, melalui maklumat terakhir diterima 11 malam tadi, difahamkan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Republik Indonesia akan mengkoordinasi pencarian berdasarkan maklumat berkemungkinan kapal kargo itu berada dalam perairan Indonesia.

“Sehingga kini tiada maklumat terkini penemuan kapal berkenaan. Kami masih menunggu maklumat dari pihak MRCC dan BASARNAS,” katanya menerusi siaran media hari ini.

Semalam, akhbar ini melaporkan kapal kargo membawa muatan besi paip dalam perjalanan dari jeti Kampung Acheh di Perak ke Kuching, Sarawak hilang pada 1 Januari lalu.

Kehilangan kapal berkenaan terbongkar selepas ejen kapal membuat laporan polis kelmarin.

Laporan mendakwa kapal kargo MV Dai Cat 06 keluar dari jeti Perak pada 23 Disember lalu dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember.

Lokasi terakhir kapal ini dikesan menerusi sistem Sistem Identifikasi Automatik (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.

Maklumat diperoleh jam 10.42 malam kelmarin, suatu isyarat kecemasan Emergency Position Indicatior Radio Beacon (EPIRB) dikesan daripada kapal kargo MV Dai Cat 06 di kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat, Indonesia.

Isyarat kecemasan berkenaan dikesan Malaysia Mission Control Centre (MYMCC) dan Police Operation Command Centre (POCC) Singapura.

Kapal berukuran 52 meter membawa 527 batang besi bernilai RM726,205.

Maritim Malaysia bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang andaian mengenai apa yang berlaku termasuk sama ada kapal itu ditawan lanun atau mengalami masalah teknikal berikutan cuaca buruk tanpa mendapat gambaran atau maklumat jelas.

Kapal MV Dai Cat 06 dikendalikan lima kru termasuk tiga warga tempatan dan dua kru warganegara Indonesia berusia antara 20 hingga 57 tahun.

Loading...
Terkini