comscore
Tumpuan :
Kes

Keputusan representasi Yasin ditangguh ke 11 Januari 2023

Yasin di mahkamah Petaling Jaya bagi keputusan representasi mengenai kes pertuduhan dadah yang dihadapi oleh beliau hari ini. – FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen, di sini, menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan keputusan representasi kali kedua bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah dihadapi penyanyi nasyid dan komposer Muhammad Yasin Sulaiman.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Nik Nasimah Nik Mohammad, peguam yang mewakili Yassin, Ariff Azami Hussein berkata, pihak pembelaan sudah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

“Kami dihubungi pasukan pendakwaan semalam (kelmarin) yang memaklumkan mereka memerlukan lebih masa sebelum membuat pertimbangan berhubung representasi berkenaan.

“Justeru, kami tidak keberatan sekiranya sebutan semula kes bagi keputusan representasi itu ditetapkan dalam masa tiga minggu,” katanya.

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin berkata, pihaknya bagaimanapun masih menunggu keputusan berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi peguam Yasin, Mohd Yusmadi Yusoff berkata, representasi difailkan pihaknya adalah lengkap daripada aspek kesihatan dan disokong oleh doktor pakar.

“Representasi ini wajar diberi pertimbangan sebaik mungkin. Keadilan tidak boleh ditangguhkan dan kebebasan perlu diberikan sekarang.

“Saya percaya rakan di pihak pendakwaan arif dalam perkara ini dan Yasin sendiri memberi kerjasama yang amat baik.

“Saya juga berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas prosedur sebutan kes keputusan representasi itu, di sini, hari ini.

Pada 6 Julai lalu, Yasin, 47, bernasib baik apabila tidak berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.

Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan dituduh semula atas pertuduhan baharu.

Yasin didakwa memiliki dadah seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagi satu lagi pertuduhan, Yasin mengaku tidak bersalah menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama.

Yasin turut didakwa dan mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan memberikan dirinya dadah berbahaya jenis 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 11.05 malam, 24 Mac lalu.

Loading...
Terkini