comscore
Tumpuan :
Kes

Bot nelayan tempatan ditahan, gaji kru warga asing tanpa kebenaran

Foto hiasan

KUANTAN: Sebuah bot nelayan tempatan pukat jerut Kelas C2 ditahan kerana disyaki melanggar syarat sah lesen menggaji kru asing tanpa permit yang sah di perairan Kuala Endau Rompin, Rompin, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh, berkata bot serta kru terbabit ditahan kira-kira 4.6 batu nautika dari Kuala Endau Rompin pada jam 9.30 pagi.

Katannya, bot terbabit yang sedang bergerak menuju ke muara Sungai Endau, Rompin diperiksa sebelum ditahan oleh bot pemintas APMM yang sedang dalam rondaan Op Makmur di perairan Pahang.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu 15 kru disyaki menggunakan permit kerja yang telah tamat tempoh manakala sembilan kru termasuk tekong tidak memiliki dokumen yang sah.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bot itu mendapati dua kru termasuk tekong warga Thailand manakala 22 kru warga Kemboja berumur antara 21 dan 50 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bot dan 24 kru termasuk tekong ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading, Rompin.

Turut dirampas, peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan sebanyak 4,000 kilogram untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan selanjutnya.

“Dalam kes ini, APMM akan memperkasakan penguatkuasaan serta menggesa komuniti maritim terutama komuniti nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang.

“Selain itu mengutamakan keselamatan apabila berada di laut dengan sentiasa memakai jaket
keselamatan.

“APMM juga mengingatkan komuniti maritim di perairan Pahang khasnya supaya menjauhi sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah dan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang bagi memastikan perairan Pahang aman dan sejahtera.

“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” katanya.

Loading...
Terkini