comscore
Tumpuan :
Kes

Kedai makan terbakar, peniaga rugi RM80,000

Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan dua unit kedai makan berhampiran Hospital Lama Kuala Krai.

KUALA KRAI: “Mujur ketika kejadian, kedai sudah ditutup dan tiada pelanggan namun saya terpaksa menanggung kerugian hampir RM80,000 apabila ruang dapur dan peralatan memasak hangus,” kata peniaga, Nurul Athirah Mustafa, 27.

Dalam kejadian 6.20 petang semalam, dua unit kedai makan musnah dalam kebakaran berhampiran Hospital Lama Kuala Krai, di sini.

Nurul Athirah berkata, ketika kejadian, dia menerima panggilan telefon daripada peniaga bersebelahan yang memaklumkan ternampak kepulan asap dari dapur kedainya.

“Sebaik menerima panggilan itu, saya bergegas ke kedai yang terletak hanya 500 meter dari rumah, namun setibanya di sana saya melihat anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran dari merebak ke kedai berdekatan.

“Saya terkejut apabila melihat api di hadapan kedai sangat marak dan tidak boleh berbuat apa-apa.

Punca kebakaran dipercayai disebabkan litar pintas dari kedai bersebelahan yang sudah lama ditinggalkan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Nurul Athirah berkata, dia yang sudah 10 tahun berniaga nasi kukus akan cuba membaiki semula kedainya yang hangus itu untuk mencari rezeki.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.22 petang dan tiba di lokasi empat minit kemudian.

“Seramai 14 anggota daripada BBP Kuala Krai dan Sungai Durian dengan kekuatan tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati dua unit rumah kedai sudah 90 peratus terbakar.

“Bagaimanapun, kecekapan anggota berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kedai yang lain dan setakat ini punca serta jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.55 malam. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini